Penyewa Petronas Tower

Menara 2 dan Menara Maxis

Menara Satu diduduki sepenuhnya oleh Petronas dan sebilangan anak syarikat dan syarikat sekutunya, manakala ruang pejabat di Menara Dua pula disewakan ke syarikat-syarikat lain[18] Antara syarikat-syarikat yang mendirikan pejabat dalam Menara Dua termasuk Al Jazeera[19], Carigali Hess[20], Bloomberg[21], GE[22], IBM, Khazanah Nasional[23], McKinsey & Company[24], Microsoft[25], Reuters[26]dan Shell[27].

Taman KLCC

Rencana utama: Taman KLCC

Di bawah bangunan ini, terdapat sebuah Taman KLCC seluas 17 ekar (69,000 m2) yang tersedia lorong berjoging dan bersiar-siar, kolam air pancut yang dihiasi pertunjukan cahaya, kolam randuk, dan taman permainan kanak-kanak. Suria KLCC ialah salah sebuah pusat beli-belah terbesar di Malaysia.[28]

Jejantas

Sebatang jejantas menghubungkan kedua-dua menara.Pemandangan dalam jejantas.

Terdapat sebatang jejantas udara yang menyambungkan kedua-dua menara di tingkat 41 dan 42, iaitu jejantas dua tingkat tertinggi di dunia.[29] Jejantas ini tidak dipasang terus pada struktur utama, sebaliknya direka agar berlongsor ke dalam dan ke luar menara agar tidak patah akibat angin kencang atau penggerakan plat seismik. Ia juga bagi mengawal pengumpulan tekanan berlebihan dari berlaku di bahagian tengah jejantas, ini kerana jika jejantas dibina begitu rapat dan terlalu tekap dengan struktur menara, pemindahan tekanan akan berselerak di serata jejantas yang akhirnya mewujudkan fenomena "jejantas tertekan", ini boleh menyebabkan jejantas runtuh dengan mudah.[30] Jambatan ini terletak 170 meter (558 ka) dari aras jalan dan panjangnya 58.4 meter (192 ka), manakala beratnya pula iaitu 750 tonne (750,000 kg).[31]

Jejantas udara Petronas juga sebenarnya diperkukuhkan lagi dengan 2 kaki retort yang setiap satunya berkembar 2, panjang setiap satu kaki iaitu 51 m dari, ia dihubung pasakkan di suatu bola keluli besar bagi mengawal ayunan jejantas. Hujung kaki berbola ini terletak di aras 29 bagi setiap satu menara.

Kuotasi

Kuotasi terkenal dari arkitek Menara Berkembar Petronas:

"Menurut Laozi, realiti objek yang kosong adalah tidak sah dan bukannya pada dinding yang menentukannya. Ia berbicara tentunya dalam realiti spiritual. Ini juga adalah realiti buat Menara Petronas. Kuasa yang kosong ditingkatkan dan membuatkan ia lebih jelas dengan adanya jejantas pejalan kaki dimana ... dengan struktur penyokong yang dibina sebagai pintu ke angkasa ... pintu ke alam maya."[32]

César Pelli, arkitek (1995)

Lawatan jejantas

Tingkat 41 dan 42 juga dikenali sebagai podium, kerana para pelawat yang hendak ke tingkat lebih tinggi perlu menukar lif di sini. Jejantas ini terbuka kepada semua pelawat, semua pelawat yang mahu melawat jejantas atas tujuan rekreasi perlu mendapatkan tiket dan pas lawatan. Asalnya tiket yang dikeluarkan adalah percuma, namun atas sebab menjaga kualiti dan piawai sistem penyelenggaraan jejantas dan pelantar pemandangan yang dilihat semakin memerlukan kos yang tinggi, pihak pengurusan Jejantas Menara Berkembar Petronas telah mengambil keputusan untuk mengenakan caj lawatan pada harga yang berpatutan.

Semua tiket yang dijual, rata-rata mengamalkan kaedah penjualan tiket berkonsep 'siapa datang awal, dia akan dapat (first come first serve). Pada bulan Ramadan, pengeluaran tiket hanya dianggarkan terhad sekitar 600 keping sahaja. Manakala bagi bulan-bulan lain, pengeluaran tiket dianggarkan sekitar 1500 hingga 1700 orang sehari. Namun begitu, para pelawat dinasihatkan untuk berada di garisan beratur (queue-point) lebih awal yakni pada pukul 6.00 pagi. Ini kerana kaunter tiket hanya mula beroperasi pada 8.30 pagi pada setiap hari kecuali hari Isnin (ditutup untuk tujuan penyelenggaraan).[33] Waktu pelepasan pertama pula akan bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada jam 7.00 malam. Pelawat bebas memilih waktu lawatan pada hari tersebut bergantung kepada kekosongan tempat. Pada kebiasaannya, tiket yang diperuntukkan akan habis dijual oleh pihak pengurusan Jejantas Petronas pada pukul 9.30 pagi, hanya tiket yang dipulangkan atau tiket jualan terus untuk lawatan hari ketiga dari hari ia beroperasi akan terus dijual sehingga kaunter ditutup pada pukul 5.00 petang.

Para pelawat hanya dibenarkan berada di tingkat 41 kerana tingkat 42 hanya dibuka kepada kakitangan penghuni bangunan. Atas dasar kemampuan capaian muatan lif hanya boleh membawa 20 orang pelawat dalam satu masa ke jejantas. Lif adalah lif berkelajuan tinggi yang bergerak hanya 41 saat ke podium jejantas. Maka pelawat perlu menunggu di balai menunggu yang disediakan oleh pihak pengurusan. Balai menunggu mempunyai kemudahan paparan teater, video DVD pembinaan menara, panel maklumat, pusat penskrinan barangan, lokar simpanan barangan dan beberapa bahan pameran yang lain. Pelawat akan dibawa melawat jejantas selama 15-20 minit dengan kumpulan tag warna tertentu.[34][35]

Harga tiket jualan adalah seperti berikut:

  1. Pakej 1 (Jejantas udara sahaja) --- RM 3 (warganegara dan kanak-kanak), RM 10 (bukan warganegara dewasa).
  2. Pakej 2 (Jejantas udara dan pelantar pemandangan) --- RM 20 (warganegara dan kanak-kanak), RM 40 (bukan warganegara dewasa).

Pelantar pemandangan terletak di tingkat 86, Menara 2 Petronas. Perjalanan ke sana mengambil masa 86 saat dari balai berlepas. Pelawat yang memilih pakej 2 selalunya diberi peluang sehingga 45 minit bagi melengkapkan lawatan bagi jejantas udara dan pelantar pemandangan.

Fungsi keselamatan jejantas

Jejantas ini juga berperanan sebagai peranti keselamatan, yang mana sekiranya terjadinya kebakaran atau kecemasan seumpamanya di satu menara, para penghuninya boleh mengosongkannya dengan menaiki jejantas ke menara yang satu lagi.[36] Kadar pengosongan yang tercetus oleh ancaman bom palsu pada 12 September 2001[37] (sehari selepas tragedi keruntuhan menara berkembar World Trade Center di Bandar Raya New York) menunjukkan bahawa jejantas tersebut tidak berguna sekira kedua-dua bangunan perlu dikosongkan serentak, kerana muatan tangga kecemasan adalah tidak cukup untuk menghadapi kejadian sebegini. Oleh itu, adalah dirancangkan agar lif boleh digunakan sekiranya kedua-dua menara perlu dikosongkan, lantas dijayakan oleh raptai kecemasan yang mengikut rancangan tersebut pada tahun 2005.

Jejantas udara Menara Berkembar Petronas ini juga sentiasa dilengkapi alat pemadam api moden yang terkini, terdapat juga sistem pengesanan haba, asap dan suhu dengan penggera keselamatan dan alat percikan air. Terdapat juga panel penyedut wasap di sisi jambatan bagi menyedut asap kebakaran jika kebakaran berlaku didalam kompleks jejantas.

Sistem lif

Syaf utama lif buatan Otis terletak di pusat setiap menara. Semua lif utama merupakan lif dua tingkat yang terdiri daripada dek bawah yang mengangkut penumpang ke tingkat bernombor ganjil dan dek atas untuk ke tingkat bernombor genap. Untuk mencapai tingkat bernombor genap dari tingkat bawah, penumpang perlu menaiki tangga bergerak ke dek atas lif.[38]

Dari tingkat bawah, terdapat tiga kelompok lif. Kelompok enam lif "jarak pendek" mengangkut penumpang ke antara tingkat 2/3 dan tingkat 16/17. Kelompok enam lif "jarak sederhana" pula mengangkut penumpang ke antara tingkat 18/19 dan tingkat 37/38. Terdapat juga lima lif segera yang membawa penumpang terus ke tingkat 41/42. Untuk ke tingkat-tingkat melebihi 41/42, penumpang perlu menaiki lif segera, kemudian bertukar lif ke tingkat-tingkat tinggi itu. Lif-lif penyambung ini melebihi paras tertinggi lif-lif yang mencapai tingkat 2 hingga 38. Corak perkhidmatan lif berulang dengan tingkat-tingkat atas, iaitu satu set ke tingkat antara 43/44 dan 57/58 dan satu lagi set ke tingkat antara 59/60 dan 73/74.[38]

Selain lif-lif utama ini, terdapat juga sebilangan lif "penyambung" yang mengangkut penumpang di antara kelompok tingkat lif utama. Berbeza dengan lif utama tersebut, lif tambahan ini bukan jenis dua tingkat. Dua buah lif disediakan untuk mengangkut penumpang dari tingkat 37/38 ke tingkat 41/42 (tingkat 39 dan 40 tidak boleh dimasuki). Oleh itu, tidak perlulah seseorang di separuh bawah bangunan untuk turun ke tingkat bawah untuk sampai ke separuh atas bangunan.

Lif-lif ini dilengkapi beberapa ciri-ciri keselamatan, seperti kebolehan mengeluarkan orang dari lif yang tersekat di antara tingkat dengan memandu salah sebuah lif bersebelahan secara manual ke sisinya, kemudian membuka panel pada dinding untuk membuka laluan kepada penumpang dalam lif yang tersekat agar melintas ke gerabak lif yang lain.[39] Ketika mengosongkan bangunan, hanya lif segera boleh digunakan, kerana hanya dilengkapi pintu keluar di tingkat G/1 dan tingkat 41/42; oleh itu sekiranya terjadinya kebakaran di separuh bawah bangunan, syaf yang terlindung ini tidak akan terjejas. Lif bomba turut disediakan untuk tujuan kecemasan.[39]

Sistem penghawa dingin terpusat

Di kawasan timur perkarangan Menara Berkembar Petronas, di sebelah utara Masjid Asy-Syakirin[40], terletaknya bangunan utiliti KLCC District Cooling yang bertujuan membekalkan air sejuk kepada semua bangunan di perkarangan KLCC. Unit air dingin pacuan turbin janaan gas ini mampu membekalkan udara nyaman sebanyak 42,000 RT[40], bukan sahaja kepada Menara Berkembar Petronas dan Suria KLCC, bahkan juga Menara Maxis, Menara Exxon Mobil, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Mandarin Oriental Kuala Lumpur dan Masjid Asy-Syakirin.